RAMADAN
menjanjikan ganjaran yang cukup istimewa bagi seorang Muslim ke arah mengecapi
kecemerlangan hidupnya. Hal ini akan terlaksana dan tercapai dengan jayanya.
Pertama; jika setiap hamba benar-benar
seorang Muslim yang mengerjakan ibadah puasa berteraskan keimanan dan muhasabah
serta mengikuti sunnah Rasulullah SAW.
Kedua; yakin dengan ganjaran yang
telah dijanjikan Allah SWT terhadap segala amalannya. Sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud:Sesiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh
kesedaran (mengharap ganjaran Allah) nescaya akan diampuni baginya dosa-dosa
yang lalu. (riwayat
al-Bukhari dan Muslim]
Memasuki detik 10 terakhir Ramadan
pesona peribadi dan perilaku Rasulullah SAW terlakar dalam hadis yang
diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud: Adalah Rasulullah SAW apabila telah
masuk 10 akhir daripada Ramadan, Baginda akan menghidupkan malam-malamnya,
membangunkan ahli keluarganya dan mengikat pinggangnya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kupasan
ringkas hadis
Para ulama berbeza pendapat dalam
memberi pentafsiran mereka terhadap hadis di atas. Namun demikian mereka
sepakat bahawa Rasulullah SAW melipat-gandakan ibadatnya pada 10 malam yang
terakhir Ramadan.
Hadis di atas menunjukkan betapa
Rasulullah SAW amat memberi tumpuan serius pada detik malam 10 terakhir Ramadan
terutama dalam perihal beribadah. Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan
daripada Aisyah r.a yang bermaksud: Rasulullah
SAW bersungguh-sungguh dalam 10 hari terakhir bulan Ramadan, suatu perkara yang
tidak Rasulullah SAW lakukan pada bulan-bulan selainnya. (riwayat Muslim)
Mengikat
kainnya
Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan
bahawa para ulama mempunyai beberapa pendapat terhadap istilah 'mengikat
kainnya'.
Di antara pendapat yang paling kuat
ialah ia membawa dua pengertian iaitu Rasulullah SAW tidak menggauli para
isterinya iaitu melakukan hubungan suami isteri (jimak) dan ini digambarkan
dengan istilah 'mengikat kainnya'.
Maksud yang kedua ialah baginda SAW
bersungguh-sungguh dalam setiap ibadah yang dilakukannya. Kedua-dua pengertian
adalah tepat jika dilihat dari perbuatan Rasulullah SAW tatkala tiba
malam-malam 10 akhir Ramadan. (Fath al-Bari 6:310)
Menghidupkan
malam harinya
Rasulullah SAW telah memberikan
pedoman terbaik kepada umatnya agar melakukan transformasi dengan mengubah
malam yang biasa pada bulan-bulan selain Ramadan dengan menghidupkannya dengan
melakukan ketaatan melalui gerak kerja ibadah.
Antaranya melakukan solat-solat sunat,
membaca al-Quran, beriktikaf terutama di sepertiga malam sewaktu manusia
terlena di malam hari. (Fath al-Bari 6:310)
Membangunkan
Ahli Keluarganya
Dalam hal gerak kerja beribadah
(solat), baginda SAW tidak pernah melupakan atau mengabaikan keluarganya.
Rasulullah SAW menunjukkan contoh
terbaik kepada seluruh umatnya terutama ketua keluarga agar tidak mengabaikan
keluarga walaupun dalam perihal melakukan ibadah-ibadah sunat.
Perilaku baginda SAW membangunkan ahli
keluargannya turut diteladani Khalifah Umar al-Khattab r.a di mana al-Imam
Malik dalamAl-Muwatta' menyebutkan,
bahawasanya Umar r.a melakukan solat malam seperti yang dikehendaki oleh Allah
SWT, sehingga apabila tiba waktu pertengahan malam, Umar r.a membangunkan
keluarganya agar melakukan solat seraya mengatakan kepada mereka: "Solat!
solat!"
Perkara-perkara
yang dianjurkan pada 10 malam terakhir Ramadan
lMandi antara Maghrib dan Isyak,
memakai pakaian yang paling baik dan memakai harumanIbn Abi 'Asim
meriwayatkan dari Aisyah r.a: "Rasulullah SAW jika berada dalam bulan
Ramadan baginda seperti rutin hariannya tidur dan bangun. Tatkala memasuki 10
hari terakhir baginda mengikat kainnya dan menjauhkan diri dari bersama-sama
para isterinya, serta baginda mandi antara Maghrib dan Isyak". (Terdapat
riwayat Abu Hurairah yang menyokong hadis ini) Dalam riwayat lain daripada
sahabat seperti Anas ibn Malik dan ulama pada masa tabi'en menyatakan bahawa
mereka akan mandi, memakai baju yang paling baik dan memakai haruman atau
wangian apabila berada pada akhir Ramadan. Apa yang dilakukan oleh Rasulullah,
sahabat dan tabi'en ini adalah satu usaha menyambut dan meraikan kedatangan
lailatul qadr, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.
Justeru pada malam-malam terakhir Ramadan di samping mencari lailatul qadr dianjurkan membersihkan diri dan
memakai wangian dan haruman, sebagaimana ia turut dianjurkan ketika Aidilfitri
dan Aidiladha.
lMencari lailatul qadr Umat Islam dianjurkan agar mencari dan
merebut lailatul qadr. Hal
ini bertepatan dengan sabda baginda yang bermaksud, Carilah malam lailatul qadr pada 10
malam terakhir.(riwayat al-Bukhari) Dalam salah satu riwayat dikatakan
bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran
dengan tertib. Baginda tidak akan melalui ayat rahmat kecuali berharap agar
Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab kecuali memohon
perlindungan daripada Allah daripada azab itu.Solat berjemaah juga sangat
diutamakan pada malam akhir Ramadan. Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang
mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam, dia telah
mengambil menghidupkan seluruh malam itu". (Riwayat Abu Dawud).Maksudnya
sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat
sebahagian apa yang dimaksudkan dengan lailatul
qadr. Apatah lagi jika mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu. Melewatkan sahur Daripada Sahl ibn Sa'd berkata: Sesungguhnya aku pernah bersahur
bersama keluargaku dan aku sempat untuk sujud bersama dengan Rasulullah SAW. (riwayat al-Bukhari)Perlakuan ini
turut diceritakan oleh Zaid ibn Thabit berkata: "Kami pernah bersahur
bersama Rasulullah SAW kemudian kami bersolat dengan baginda. Lantas Anas
bertanya, Berapakah jarak di
antara sahur itu dengan solat? Zaid menjawab, kira-kira 50 ayat.(riwayat
al-Bukhari)
lMelakukan iktikafIktikaf
adalah sunnah yang dianjurkan oleh Baginda SAW demi memperolehi kelebihan dan
ganjaran lailatul qadr (malam yang lebih baik dari 1,000 bulan).Firman Allah
dalam surah al-Qadr yang bermaksud: Sesungguhnya
Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam Lailatul Qadr, dan apa jalannya
Engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadr itu? Malam
Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat
dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang
ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang
berkat) itu sehingga terbit fajar.(al-Qadr: 1-5) Menjelang 10 akhir Ramadan
secara rutinnya Rasulullah SAW mengisi waktu-waktunya dengan beriktikaf di
masjid. Pelakuan baginda ini berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari dan
Muslim yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a Bahawa Rasulullah SAW beritikaf
pada 10 akhir daripada Ramadan sehingga baginda diwafatkan oleh Allah, kemudian
(diteruskan sunnah) iktikaf selepas kewafatannya oleh para isterinya. Dalam
sebuah hadis lain Bahawasanya Abu Hurairah berkata: "Rasulullah SAW selalu
beriktikaf pada tiap-tiap sepuluh hari terakhir Ramadan, manakala pada tahun
Baginda diwafatkan, Baginda beriktikaf selama 20 hari". (riwayat Ahmad,
Abu Dawud, al-Tirmidzi dan dinilai sahih oleh al-Tirmidzi)
lMembanyakkan doaUlama
bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa memohon
keampunan ataumaghfirah daripada
Allah SWT. Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan daripada Aisyah dan
dikeluarkan oleh al-Imam al-Tirmidzi dan dinilai hasan sahih, Aisyah diajar
oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar. Doanya berbunyi: Allahumma innaka afuwwun karimun
tuhibbul afwa fa' fu anni yang
bermaksud: Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang
suka mengampun, maka ampunilah aku. (al-Tirmidzi 5:535)Rasulullah SAW turut
berdoa yang bermaksud: "Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah
penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah penutupnya. Dan jadikan
sebaik-baik hari-hariku adalah hari di mana aku bertemu dengan-Mu Kelak".
(Musannaf Ibn Abi Syaibah 6:
65)